KUALA LUMPUR – Suasana mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parlimen Batu di Sekolah Kebangsaan Intan Baiduri meriah bagaikan pesta.
Ini kerana sekolah berkenaan merupakan PDM yang mempunyai jumlah pengundi berdaftar paling ramai iaitu 7,972 orang dan 12 saluran peti undi.
Seramai 36 orang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditugaskan di PDM itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hari ini.
Pemerhatian MalaysiaGazette mendapati, golongan muda dan pertengahan dilihat paling ramai hadir sejurus pusat pengundian dibuka 8 pagi tadi.
Dalam pada itu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah bersama Ketua Polis Daerah Sentul, Beh Eng Lai turut berada di sekolah berkenaan untuk melakukan pemantauan.
Beliau bersama pasukannya dilihat tiba di pusat pengundian itu jam 10.45 pagi sebelum beredar kira-kira setengah jam kemudian.
Dalam pada itu, rata-rata pengundi berusia 18 hingga 21 tahun begitu teruja untuk mengundi buat kali pertama.
Terrence,19, merayu semua pengundi untuk keluar mengundi dan tidak mensia-siakan peluang yang ada bagi memilih pemimpin negara.
“Seperti bermimpi sebab saya baru 19 tahun tapi tak sangka dapat mengundi kerana sebelum ini undang-undang hanya membenarkan pengundi berusia 21 tahun ke atas sahaja,”katanya ketika ditemui di sini.
Vimala Devi mendukung bayi berusia sebulan selepas selesai mengundi di SK Intan Baiduri parlimen Batu tengahari tadi.Dalam pada itu, seorang wanita yang masih berpantang selepas sebulan melahirkan anak perempuan turut komited hadir dan mengundi di SK Intan Baiduri.
S.T. Vimala Devi, berusia 30-an turut membawa bayinya berusia sebulan, Lakshana Alilavaeynthan ke pusat pengundian.
“Walaupun dalam keadaan masih berpantang selepas melahirkan anak, saya tidak mahu melepas peluang mengundi untuk memilih pemimpin dan kerajaan baharu yang adil dan menjamin kestabilan negara dan juga rakyat majmuk tanpa diskriminasi.
“Saya seronok turut sama dapat mengundi pagi ini dan harap yang menang nanti jangan menghampakan pengundi yang menaruh kepercayaan dan memberi mandat kepada dia kali ini,” katanya.
Parlimen Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru di antara penyandang Prabakaran (Pakatan Harapan) dengan calon Barisan Nasional A. Kohilan Pillay, calon Bebas Tian Chua yang merupakan bekas Naib Presiden PKR serta peguam dan aktivis kontroversi, Siti Zubaedah Kassim.
Pada PRU14 2018, Prabakaran yang bertanding bebas dengan sokongan Tian Chua menang besar dengan majoriti lebih 32 undi daripada lebih 70,000 pengundi berdaftar di Batu sekaligus menjadi wakil rakyat termuda dalam sejarah politik negara dan PRU ketika itu.
Seramai 113,863 pengundi berdaftar yang mengundi pada hari ini untuk memilih wakil rakyat baharu mereka kali ini.-MalaysiaGazette