Pengundi muda, Iman Nurasyiqin Rosaimi (kanan) dan Iman Nuraina (kiri) menunjukkan jari yang berdakwat selepas selesai mengundi buat pertama kali pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di di SMK Bandar Kerayong, Bandar Bera, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 19 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Semua parti-parti politik diminta untuk menerima apa sahaja keputusan dan mandat baharu yang rakyat berikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan berkata, sejak 2018 hingga saat ini, rakyat negara kita khususnya kaum pekerja telah menempuh berbagai cabaran dan dugaan dalam bergerak ke arah kesejahteraan ekonomi dan sosial.

Walaupun ianya situasi yang sukar, kaum pekerja sentiasa teguh memberi keyakinan kepada kepimpinan negara untuk memacu kestabilan politik dan perpaduan kaum.

”Harus diingat juga, kebanyakan kaum pekerja berasa bimbang dengan situasi politik, ekonomi dan sosial di negara kita yang semakin jauh dari aspek kestabilan dan perpaduan.

”Kestabilan dan perpaduan ini amatlah penting kerana tanpa kedua-dua faktor ini kita tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kita tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram,” katanya dalam kenyataan di sini.

Rizan Hassan

Jelas beliau, PKPB percaya semua parti-parti yang bertanding menyedari hakikat bahawa masa depan negara kita bergantung kepada kestabilan politik dan perpaduan di kalangan masyarakat.

Justeru itu, pemimpin yang di pilih nanti mestilah menumpukan tindakan dan kegiatan untuk meningkatkan lagi kedua-dua perkara ini.

Jelasnya, keseluruhan rakyat jelata mengharapkan selepas PRU-15 semua ahli poliltik dapat bersatu dan bersepakat dalam segala kegiatan dan tindakannya untuk negara walaupun kadangkala terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara- perkara tertentu.

“Tetapi pada umumnya kesungguhan untuk mengembalikan kecemerlangan negara perlulah menjadi keutamaan,” ujarnya sambil menyeru kepada kaum pekerja terutama golongan belia untuk ramai-ramai keluar mengundi kerana ianya juga sebahagian sumbangan besar kepada pembangunan ekonomi dan jaminan kerjaya masa hadapan masing-masing. – MalaysiaGazette