Mohd Sabri Mohd Nordin

PUTRAJAYA – Teruja untuk mengundi, Mohd Sabri Mohd Nordin, 41 keluar seawal jam 7 pagi semata-mata untuk menunaikan tanggungjawabnya.

Beliau merupakan pengundi pertama di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1), di sini, pagi ini.

Mengundi di saluran 1, Mohd Sabri berkata, beliau keluar awal pagi kerana perlu menyelesaikan urusan lain selepas itu.

“Saya saya nak ke Kuala Lumpur untuk bawa ibu saya mengundi di Setapak pula,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab sebagai pengundi untuk menunaikan hak beliau bagi memastikan kerajaan yang akan dipilih boleh mentadbir negara.

Jelas Mohd Sabri, sebagai warga Malaysia, adalah menjadi tanggungjawab beliau memastikan kerajaan yang akan dipilih boleh mentadbir negara.

“Saya semangat untuk mengundi kerana kita nak cipta sejarah supaya kita dapat pemimpin yang terbaik dulu kini dan selamanya,” ujarnya.

Bagi kerusi Parlimen Putrajaya, penyandangnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1), jam 8.30 pagi ini.

Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Dr Radzi Jidin pula akan mengundi di Sekolah Rendah Agama An-Najah di Presint 9. – MalaysiaGazette