KUALA LUMPUR – Tiga sahabat istimewa gembira apabila dapat bersama-sama menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri.
Shahfez Mohd Shah,40, Intan Liana Azmi, 39 serta Mohd Faizal Abu Osman, 39, adalah orang kelainan upaya (OKU) bisu dan pekak sejak kecil.
Shafez yang sudah tiga kali mengundi berkata, dia datang bersama isterinya yang juga pekak dan bisu, Ayu Nurul Syuhada Mohd Fauzi, 33.
Pasangan itu kemudiannya bertemu dua lagi sahabat mereka di pusat pengundian berkenaan.
“Masa pertama kali dulu, saya rasa gementar sedikit tetapi kali ini saya sudah biasa dan alhamdullilah semuanya lancar. Istimewanya hari ini isteri dan sahabat saya turut mengundi di tempat sama,” katanya.
Sementara itu rakannya, Intan Liana berkata, dia datang dari Cheras dan tiba di pusat pengundian seawal 8 pagi.
“Saya lega dapat mengundi apatah lagi ada sahabat saya mengundi sama di sini. Alhamdulilah prosesnya juga mudah kerana ramai petugas membantu dan mempermudahkan urusan kami.
“Saya cuma berharap kerajaan dibentuk nanti akan membela dan tidak meminggirkan nasib golongan orang kurang upaya (OKU) seperti kami” ujarnya.
Bagi Norfaizah Abu Osman, 37, berkata dia berbesar hati dapat menjadi pengantara dan penterjemah untuk abangnya, Mohd Faizal dan rakan istimewanya itu.
“Mereka bertiga ini sudah akrab sejak kecil dan walaupun bersekolah di sekolah menengah berlainan, persahabatan mereka masih kekal sampai sekarang.
“Biasanya memang saya akan menemani abang untuk ke mana-mana urusan rasmi untuk menjadi penterjemahnya dengan orang sekeliling.
“Sebenarnya saya tidak mendapat pendidikan formal dalam bahasa isyarat, tetapi saya pelajarinya sejak kecil kerana membesar bersama abang,” jelasnya.
Pada PRU15 ini, parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani dengan calon Pakatan Harapan (PH) Khalid Abd Samad.
Selain itu, turut bertanding Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (Pejuang) serta Dr Rosni Adam yang mewakili Perikatan Nasional (PN).
Untuk rekod, pusat mengundi di SK Taman Maluri menyediakan sembilan saluran untuk 5,544 individu mengundi dengan secara keseluruhannya Parlimen itu menyaksikan 80,747 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15). – MalaysiaGazette