Foto hiasan

IPOH – Setakat ini belum ada mana-mana parti yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Sidang media Pakatan Harapan (PH) yang sepatutnya diadakan lewat malam ini di Hotel Weil, di sini, ditunda esok atau lusa.

Bendahari DAP Negeri Perak, Howard Lee berkata, sidang media terpaksa ditangguhkan memandangkan belum ada keputusan rasmi dan pengiraan masih lagi berlangsung.

“Pengiraan masih lagi berjalan, malah kerusi saya sendiri belum lagi menang. Ketika ini, kepimpinan Pakatan Harapan masih belum bermesyuarat.

“Ada kemungkinan mesyuarat itu esok atau lusa, selagi belum ada kesahihan kita tidak boleh adakan sidang media,” katanya.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat ini menunjukkan Perikatan Nasional (PN) menang di lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Lima kawasan itu adalah Bukit Chandan (majoriti 1,164 undi), Kuala Kangsar (3,566), Changkat Jong (1,089), Pengkalan Hulu (1,324), dan Manong (2,912).

PH menang di empat DUN iaitu Canning (20,734), Pasir Pinji (22,169), Pasir Bedamar (17,446), dan Keranji (8,749). -MalaysiaGazette