pengeluaran KWSP
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengucapkan terima kasih kepada 13,728 pengundi Parlimen Gerik yang telah memilihnya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Namun jelas beliau, hanya Allah pemilik segala kekuasaan dan berhak memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki dan menariknya daripada sesiapa yang dikehendaki.

“Tiada daya upaya melainkan dengan izinNya jua. Maka berdamailah dengan takdir dan redhalah saya atas setiap apa yang ditentukan kepada diri ini.

“Terima kasih juga kepada seluruh jentera Barisan Nasional khususnya jentera PDM (pusat daerah mengundi), Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri, sahabat-sahabat dan semua pihak yang bertungkus lumus memastikan proses demokrasi berlangsung dengan baik sama ada di Gerik mahupun seluruh Malaysia,” tulis di Facebook miliknya.

Asyraf Wajdi tewas di kerusi Parlimen Gerik pada PRU15 selepas beliau gagal mempertahankan kerusi BN itu yang sebelum ini kubu kuat UMNO apabila hanya memperolehi 13,728 undi.

Calon Perikatan Nasional (PN), Fathul Huzir Ayob (PN) menang dengan undi 15,105 dan majoriti 1,377 undi.

Sementara calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Tarmizi Mohd Jam mendapat 5,779 undi.

Asyraf Wajid juga mengucapkan tahniah buat semua yang menang dan mahu ahli parti dan penyokongnya supaya bersabar dengan keputusannya tidak memihak kepada mereka kali ini.

“Insya-Allah kita berdoa agar keputusan PRU kali ini akan dapat menzahirkan sebuah kerajaan yang stabil dan kompeten pilihan rakyat.

“Hasbunallah Wa Nikmal Wakeel. Cukuplah Allah sebagai penolong kami,” tulisnya lagi.- MalaysiaGazette