KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jelas mencerminkan pilihan sebenar rakyat.
Parti yang menjadi pilihan adalah Pakatan Harapan (PH) yang memenangi 82 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) yang meraih 73 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) hanya mampu menang di 30 kerusi.
Rakyat pernah berada di bawah pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan, rakyat juga pernah mempunyai perdana menteri yang kini merupakan pengerusi PN.
Justeru tidak timbul soal rakyat tersalah pilih. Kertas undi yang dipangkah di sisi logo PH itu adalah manifestasi untuk melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri – satu pengalaman yang belum pernah dirasa oleh rakyat Malaysia.
Pengundi di 82 kerusi parlimen yang dimenangi PH mahukan sentuhan Anwar sebagai pemimpin utama negara. Anwar tidak kurang hebat pengalaman, serta susur jatuh bangun beliau dalam dunia politik Malaysia amat berliku.
Cergas dan tangkas Anwar di atas pentas ceramah pasti mampu diterjemahkan dalam Kabinet Malaysia yang ditunjangi beliau kelak. Jadi memang pilihan pengundi di 82 kerusi parlimen itu amat tepat.
Tan Sri Muhyiddin Yassin pula amat dekat dengan rakyat menerusi panggilan Abah yang melekat sehingga sekarang.
Sepanjang dua minggu kempen, rakyat menerima beliau dengan penuh makna apatah lagi apabila digandingkan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang merupakan sekutu PN.
Tidak timbul juga soal kemenangan PN adalah gelombang Pas dan bukannya gelombang PN. Mereka adalah keluarga bernaung di bawah satu bendera cuma tidak berani dipertaruhkan di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Ahli-ahli Pas begitu meraikan kerjasama induk mereka bersama Bersatu di bawah logo PN. Hujan, panas ahli-ahli Pas menukar uniform dari hijau kepada biru gelap bertugas sebagai laskar kempen PRU dengan satu matlamat mahu Abah kembali menjadi perdana menteri.
Oleh kerana kedua-dua gabungan ini mendapat kepercayaan rakyat, maka tidak ada sebab untuk barisan kepimpinan parti itu mengkhianati mandat serta amanah rakyat.
Tidak perlu untuk PH mencari rakan baharu bagi mencukupkan majoriti mudah, begitu juga dengan PN. Bergabunglah untuk membentuk kerajaan yang kuat demi rakyat sebagaimana slogan kempen Kita Boleh dan Bersih serta Stabil. Rakyat pasti menghargainya!
Apatah lagi tanpa kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagaimana ketika PH memerintah 22 bulan lalu, kali ini air tangan Anwar dan Muhyiddin ditunggu-tunggu oleh pengundi di 155 kerusi parlimen untuk merelisasikan resipi Kita Boleh, Bersih dan Stabil.
Pasti boleh dicadangkan jawatan bersesuaian dan setaraf perdana menteri untuk kedua-dua pemimpin ini.
Untuk Barisan Nasional, cukuplah. Prestasi yang sangat merudum ini wajib dihadam dan dicerna supaya tidak tersangkut pada usus keegoan lagi.
Percayalah kepada perubahan dunia. Bangunlah daripada diulit mimpi yang terlalu panjang dan dibelit kemenangan lalu yang hakikatnya diraih dalam suasana berbeza.
Jangan diganggu penggabungan PH dan PN. Jangan jadi orang tengah atau jambatan sedangkan titi UMNO/BN semakin usang dan menunggu untuk rebah. Beretikalah wahai pemimpin UMNO dan hormatilah kehendak rakyat yang mahukan PH dan PN. Itu kehendak mereka. Usah disiram luka hati rakyat dan ahli-ahli parti yang masih ada kepercayaan kepada UMNO dan Barisan Nasional.
Bermuhasabah dan akui kelemahan serta kesilapan. Biarlah kecewa sekarang daripada menjadi punca kekecewaan generasi akan datang apabila UMNO/BN tidak lagi relevan hanya kerana barisan kepimpinannya terlalu memandang ke seberang sehingga lupa rumput yang dipijak.
Jadilah pembangkang yang efektif, berwibawa dan mengetengahkan isu-isu rakyat. BN wajib kembali ke landasan perjuangan politik perut rakyat dan bukannya membesarkan tembolok atau kepentingan sendiri.
Ketika BN terduduk, janganlah dipanjangkan langkah ke rumah orang lain. Santuni ahli-ahli parti, bermesyuaratlah dan cari jalan penyelesaian. Mengapa harus ditangguh mesyuarat majlis tertinggi UMNO dan BN yang sepatutnya diadakan secepat mungkin demi masa depan parti. Masa terlalu singkat sebelum BN menjadi tidak relevan bukan kerana kekuatan musuh tetapi kebebalan pemimpinnya.
Jangan mudah lupa bagaimana parti chauvanis itu menarik telinga Atok utk rectifying icert semasa Atok menjadi pupet/proxy PM mereka… Jangan mudah terpesona dgn janji2 manis godfather mereka… kah..kah..kahhh