Hasni pemilihan
Hasni Mohammad

KLUANG – Dengan hanya memenangi sembilan daripada 26 kerusi Parlimen yang ditandingi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Johor, Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Seri Hasni Mohammad menyifatkan keputusan itu tidak membanggakan.

Pengarah Pilihan Raya BN Johor itu berkata, dalam situasi ketika ini, tiada blok parti politik yang mendapat majoriti mudah, sekali gus tidak ada parti boleh secara bersendirian menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Hasni yang merupakan antara sembilan calon BN yang menang iaitu di Parlimen Simpang Renggam berkata, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tentunya akan mengambil tanggungjawab atas keadaan yang dihadapi.

“Dan tentunya kita berharap bahawa satu kerajaan akhirnya akan dapat dibentuk, supaya rakyat akan dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai pemenang bagi Parlimen Simpang Renggam di Dewan Muafakat Majlis Daerah Simpang Renggam (MDSR), di sini, malam ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut memenangi kerusi Parlimen Simpang Renggam itu dengan majoriti undi 1,821 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Selain Simpang Renggam, BN memenangi Parit Sulong, Ayer Hitam, Pontian, Kota Tinggi, Tenggara, Pengerang, Sembrong dan Tanjung Piai pada PRU15.

Hasni berkata, antara faktor kekalahan BN di Johor ialah disebabkan kehilangan sokongan majoriti kaum bukan Melayu, selain kecenderungan pengundi muda yang tidak berpihak kepada BN. – Bernama