Calon Perikatan Nasional P.125 Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin diiringi para penyokong hadir bagi menyerahkan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 05 NOVEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Naib Presiden Bersatu Datuk Dr Radzi Jidin yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menang di kerusi Parlimen Putrajaya dengan majoriti 2,310 undi.

Beliau yang memperoleh 16,002 undi menewaskan penyandang empat penggal kerusi itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dari Barisan Nasional (BN) yang mendapat 13,692 undi.

Empat lagi calon kerusi itu iaitu Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz dari Pakatan Harapan mendapat 5,988 undi, manakala Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang) meraih 878 undi.

Dua calon Bebas Lim Fice Bee pula memperoleh 20 undi, manakala Samsudin Mohamad Fauzi meraih 63 undi.

Pengumuman itu dibuat Pegawai Pengurus Pilihan Raya Putrajaya Shamshul Joehari Zainal Mokhtar di pusat penjumlahan undi di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 9 di sini.

Ini merupakan kemenangan pertama Radzi, 45, dalam PRU, selepas kalah ketika bertanding di Parlimen Ketereh pada PRU14 yang lepas.

Ditemui pemberita selepas pengumuman itu, beliau berkata ini merupakan kemenangan untuk semua warga Putrajaya dan jentera PN yang telah bekerja keras dalam PRU15.

“Terima kasih kepada semua pengundi, ini kerja keras untuk pastikan misi yang dianggap mustahil berjaya… ia era baharu Putrajaya,” katanya.

Parlimen Putrajaya, yang merupakan kawasan pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan, mempunyai pengundi berdaftar berjumlah 42,881 orang.- BERNAMA