Nurul Izzah Anwar

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengucapkan penghargaan buat semua pengundi yang telah menjalankan tanggungjawab semalam walaupun beliau gagalkan mempertahankan kerusi untuk penggal kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anak sulung kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, demokrasi perlu sentiasa dipertahankan dalam mana-mana pilihanraya dan beliau
menerima keputusan ini dengan hati yang terbuka.

Tambah beliau, peluang mewakili Permatang Pauh di dalam Dewan Rakyat adalah salah satu daripada penghormatan terbesar di dalam hidupnya.

“Di Permatang Pauh lah, bermulanya Kajian Kemiskinan Pelbagai Dimensi pasca Covid-19 yang pertama di Malaysia, dan akhirnya diangkat di peringkat Economic Planning Unit (EPU) sebagai kaedah menilai kemiskinan dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) merentasi pendapatan semata-mata.

“Terima kasih tidak terhingga di atas peluang dan ruang yang diberikan. Buat pengundi serta penyokong saya yang dikasihi, kasih serta dokongan anda memberi saya kekuatan dalam mendepani cabaran hidup dan masa hadapan.

“Tahniah diucapkan buat mereka yang telah diberikan mandat. Sebagaimana setiap jawatan itu, hadirnya dengan tanggungjawab dan amanah. Semoga mandat ini dipikul dengan penuh tanggungjawab, kasih dan kebijaksanaan,” tulis di media sosialnya.

Nurul Izzah juga berkata, bukan kritikan yang dikira dan bukan menunjukkan bagaimana orang yang kuat tersandung atau di mana orang boleh melakukan perbuatan dengan lebih baik.

Beliau turut menitipkan kata-kata seorang tokoh politik terkenal, Theodore Roosevelt.

“Kredit adalah milik lelaki (dan wanita) yang sebenarnya berada di gelanggang yang mukanya dicemari oleh debu dan peluh dan darah; yang berusaha bersungguh-sungguh; siapa yang tersilap, yang datang sekejap dan lagi, kerana tiada usaha tanpa kesilapan dan kekurangan – Theodore Roosevelt.

“Jangan bimbang, teman-teman seperjuangan. Berkat usaha, doa, InshaaAllah saya akan kembali,” tulisnya. – MalaysiaGazette