Tuan Ibrahim Tuan Man

LIPIS – Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka yang diibaratkan kerusi tradisi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan memperoleh 5,634 undi.

Timbalan Presiden Pas itu menewaskan calon Barisan Nasional (BN) yang juga Pengerusi MCA Lipis, Ho Fong Mee mendapat 4,411 undi manakala calon Pejuang, Aishaton Abu Bakar (81 undi) dan Rashid Mohamad dari Pakatan Harapan (2,255 undi).

Tuan Ibrahim menang dengan majoriti 1,223 undi dan sebelum itu disebut-sebut bakal Menteri Besar sekiranya PN merampas Pahang.

Beliau juga mengekalkan kerusi Parlimen Kubang Kerian di Kelantan.

Pengumuman rasmi keputusan itu dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Parlimen Lipis, Datuk Mohd Hafizi Ibrahim pada jam 12.50 pagi tadi.

Bagaimanapun, kerusi Parlimen Lipis masih kekal milik BN apabila penyandangnya, Datuk Abdul Rahman Mohamad menang apabila memperoleh sebanyak 17,672 undi dengan majoriti besar 6,118 undi.

Beliau menewaskan pencabar dari Pakatan Harapan (PH) iaitu Tengku Zulpuri Shah Raja Puji yang mendapat sebanyak 6,366 undi.

Turut tewas Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman dari Perikatan Nasional (PN) mendapat 11,554 undi dan Aishaton Abu Bakar mewakili Pejuang sebanyak 263 undi.

Sementara itu, DUN Padang Tengku masih dikuasai BN apabila penyandangnya, Datuk Mustapa Long berjaya memperoleh 7,198 undi sekali gus mengalahkan calon Pejuang, Mohd Rostam Mustapha (176 undi), Ruzi @ Nata Yusoff dari Pakatan (1,203 undi) dan seorang lagi calon PN, Muhamad Khaider Kamil (6,691 undi).

Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak berjaya mempertahankan kerusi DUN Benta untuk penggal keenam dengan memperoleh sebanyak 3,948 undi.

Mohd Soffi memperoleh majoriti sebanyak 1,521 undi menewaskan dua calon lain, iaitu Rizal Jamin dari PH yang mendapat 2,427 undi, manakala Nor Alias Ibrahim dari PN cuma 1, 814 undi.-MalaysiaGazette