Wakil pembahas Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhammad Akmal Saleh berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 MAC 2022.
Muhammad Akmal Saleh. Foto MALAYSIA GAZETTE, 19 MAC 2022.

MELAKA – UMNO memerlukan ‘total reset’ bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada parti keramat itu susulan kekalahan terburuk Barisan Nasional (BN) pada PRU15 semalam.

Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, musibah yang berlaku itu perlu dilihat oleh setiap individu di dalam parti termasuk, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin, rasa bertanggungjawab adalah perkara paling utama sebelum menyalahkan orang lain atas sesuatu kesilapan.

“Kekalahan BN ini adalah kesalahan dari kita semua, dari peringkat presiden hinggalah ke peringkat bawahan.

“Kesalahan kita kerana tidak bersuara dan menentang ketika sebelum keputusan dibuat malah ada yang diam kerana takut untuk tidak dicalonkan sebagai calon pilihanraya,” katanya menerusi kenyataan di Facebook (FB) rasminya di sini hari ini.

Menurutnya, seluruh keluarga UMNO perlu bermuhasabah dan bukannya meletakkan kekalahan pada PRU15 kepada individu lain tanpa sedikitpun ada rasa tanggungjawab tentang kekalahan diri sendiri.

“Kesalahan ini perlu kita tanggung bersama, sebab itu saya mohon UMNO perlu total reset.

“Dato Seri Presiden, pemimpin, calon-calon yang menang mahupun kalah, akar umbi UMNO, muhasabahlah diri kita,” katanya.

Keputusan PRU15 semalam menyaksikan BN mencatat keputusan terburuk dalam sejarah PRU apabila hanya mendapat 30 kerusi daripada 178 kerusi yang ditandingi.

Malah di Melaka, BN tewas di semua kerusi Parlimen termasuk di kerusi kubu kuat iaitu Jasin dan Masjid Tanah yang dimenangi pada PRU14. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast