Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar hadir pada Mesyuarat Biro Politik UMNO di di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 20 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mengumumkan peletakan jawatanya, hari ini.

Jelas Noh, tindakan itu dibuat selepas beliau merasakan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sudah hilang kepercayaan terhadap beliau.

“Saya nak umumkan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor. Presiden sudah hilang kepercayaan terhadap saya. Saya sudah diumumkan sebagai calon tapi saya tidak kecil hati,” katanya ketika meninggalkan Menara Dato’ Onn, hari ini.

Ditanya mengenai desakan terhadap Ahmad Zahid untuk melepaskan jawatan Presiden, Noh Omar berkata, beliau ada mengemukakan cadangan tersebut dalam mesyuarat hari ini.

“Saya minta kalau Presiden berjiwa besar, dia patut letak jawatan seperti mana Datuk Seri Najib.

“Bila kalah dia terpaksa letak jawatan maka biarlah orang baru yang mengurus UMNO. Sebagai Presiden parti pun, menang bawah seribu undi lebih sahaja,” ujarnya.

Bagaimanapun, Noh berkata, beliau masih Ahli Majlis Tertinggi (MKT) dan akan menghadiri mesyuarat selepas ini.

Sementara itu, beliau memberitahu, mesyuarat MKT UMNO yang dijadualkan pada hari ini ditangguhkan.

Beliau yang ditanya Media samada MKT lain menyuarakan cadangan agar Ahmad Zahid meletakan jawatan bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Tidak ada tapi saya ada bercakap dalam mesyuarat Biro Politik, Presiden kalau berjiwa besar kena letak jawatan.

“Itu terpulang kepada dia. Saya tidak mahu komen yang lain,” katanya. – MalaysiaGazette