Saifuddin Nasution dan Hamzah Zainuddin

KUALA LUMPUR – Kenyataan Perikatan Nasional (PN) bahawa parti itu telah memperoleh surat akuan melebihi 112 ahli parlimen adalah pramatang, mustahll dan tidak konklusif, kata Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution.

Beliau berkata, ini berdasarkan kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) sebarang akuan berkanun yang lain atau sebarang rundingan dengan parti-parti lain oleh mana-mana ahli Parlimen UMNO adalah tidak sah.

Dokumen tersebut juga tidak boleh diambil kira sebagai bukti sokongan majoriti kepada mana-mana calon perdana menteri dan boleh menyebabkan mereka hilang kerusi seperti yang dipersetujui dalam akuan berkanun yang telah mereka tandatangani.

Menurut Saifuddin, PH telah memasuki fasa rundingan yang serius dengan BN.

“Rundingan tersebut telah membincangkan perkara-perkara utama yang menyentuh kestabilan politik dan pemulihan ekonomi dengan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.

“Hasil perbincangan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PH juga, katanya, mengambil maklum penafian Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengenai kenyataan media tular menyatakan 10 ahli Parlimen UMNO menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri.

“Oleh yang demikian, Pakatan Harapan berpendirian bahawa kenyataan Setiausaha Agung PN itu adalah pramatang, mustahil dan tidak konklusif berkaitan angka sokongan majoriti yang didakwa telah mereka capai,” katanya. – MalaysiaGazette