Tertuduh, C. Tamilvahnan, 29, didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan khianat terhadap tiga buah kereta, Julai lalu.

MELAKA – Seorang pemandu van didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tiga tuduhan melakukan khianat terhadap tiga buah kereta, Julai lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Sulaiman menjatuhkan hukuman tersebugt selepas tertuduh, C. Tamilvahnan, 29, membuat pengakuan itu selepas semua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didapati bersalah melakukan khianat dengan membaling batu bata terhadap tiga buah kereta milik tiga individu berlainan.

Perbuatannya itu mengakibatkan kerosakan pada cermin depan dan belakang tiga kereta berkenaan sekali gus menyebabkan ketiga-tiga pemilik kenderaan itu mengalami kerugian RM3,500.

Kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan itu dilakukan di hadapan rumah bernombor di Taman Sinn, Jalan Semabok, Melaka antara pukul 12.10 pagi hingga 12.25 pagi, 12 Julai lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim zamri manakala tertuduh diwakili Peguam L Sherveen.