Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran berjalan keluar dari bangunan Menara Dato’Onn selepas selesai menghadiri ke Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 21 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pendirian MIC tertakluk kepada keputusan Dewan Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) sama ada bersama Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) esok.

Presidennya, Tan Sri S. Vigneswaran bagaimanapun berkata, ia juga perlu mengambil kira pendirian 30 Ahli Parlimen BN yang memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Mereka akan meneliti kedua-dua dan buat yang terbaik untuk negara. Pendirian MIC pun tertakluk mesyuarat yang akan datang (Selasa).

“Hasil mesyuarat Dewan Tertinggi BN hari ini tiada ketetapan.

“Apa juga perjanjian perlu dapatkan ahli Parlimen (persetujuan),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Dewan Tertinggi BN hampir dua jam di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Awal pagi tadi, MIC yang diwakili timbalan presidennya, Datuk Seri M. Saravanan hadir ke perjumpaan tertutup bersama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan 26 ahli Parlimen BN.

Perjumpaan itu antara lain untuk membincangkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan baharu menerusi jawatankuasa perundingan yang diwakili tujuh ahli Parlimen BN.

Selain Saravanan, hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin. – MalaysiaGazette