nepotisme anwar
Hamzah Zainudin

KUALA LUMPUR – Parti Perikatan Nasional (PN) telah selesai mengemukakan Surat Akuan Berkanun daripada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang memberi laluan kepada Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 dan pembentukan kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, surat akuan itu diserahkan hari ini kepada Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk dipersembahkan kepada Istana sepertimana dititahkan semalam oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.

“PN selesai kemukakan Surat Akuan Berkanun lebih 112 Ahli Parlimen,” katanya secara ringkas dalam kenyataan, hari ini.

PN yang diketuai Ahli Parlimen Pagoh itu memperolehi 73 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15, kelmarin, tiada parti bertanding memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Senario tersebut menyaksikan PN mengadakan rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta beberapa ahli Parlimen daripada BN dan Bebas dalam usaha menubuhkan kerajaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast