Bajet 2023 Negeri Pulau Pinang bertemakan 'Pembangunan Mampan Mensejahterakan Rakyat'.

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2023 dengan defisit sebanyak RM467.12 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, ia membabitkan perbelanjaan mengurus berjumlah RM989.47 juta berbanding jangkaan hasil negeri sebanyak RM522.35 juta.

Kata beliau, anggaran defisit RM467.12 juta dalam Bajet 2023 akan dibiayai daripada Simpanan Terkumpul Negeri yang berbaki RM848.82 juta pada akhir tahun 2021.

“Antara punca utama peningkatan perbelanjaan mengurus tahun 2023 adalah berikutan pertambahan caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri sebanyak RM40 juta iaitu caruman sebanyak RM240 juta pada tahun 2023 berbanding RM200 juta tahun ini.

“Bagaimanapun, bajet berdefisit ini perlu dilaksanakan mengambil kira janji kerajaan negeri yang akan sentiasa berusaha untuk melonjakkan pembangunan negeri selain memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2023 Negeri Pulau Pinang yang bertemakan ‘Pembangunan Mampan Mensejahterakan Rakyat’ pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, dalam pembentangan sama, Kon Yeow turut mengumumkan pemberian Bantuan Kewangan Khas (BKK) akhir tahun kepada 3,920 penjawat awam negeri.

“Mereka akan menerima bayaran setengah bulan gaji atau minimum RM1,200 dengan implikasi kewangan berjumlah RM6.13 juta.

“Semua bayaran BKK dan pemberian ini akan dibuat pada bulan Disember 2022,” katanya. – MalaysiaGazette