kalimah Allah akidah
Noh Omar. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 03 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO bakal ditolak oleh orang Melayu sekiranya ia salah membuat keputusan untuk bergabung dengan parti politik lain bagi menubuhkan kerajaan Persekutuan.

Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, jawatankuasa perunding dalam parti itu perlu tegas dan tidak membuat pertimbangan demi jawatan dalam kerajaan semata-mata.

“Keputusan untuk menyertai mana-mana parti telah ditangguhkan. Jawatankuasa Perunding harus tegas. Bukan sekadar hanya untuk mendapat jawatan dalam kerajaan.

“Salah buat keputusan orang Melayu pulaukan UMNO, dari 30 kerusi BN jangan sampai Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) nanti hanya tinggal 3 kerusi saja.

“Laungan Hidup Melayu! hidup UMNO! Hanya tinggal sejarah!,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.

Kenyataan tersebut dipercayai merujuk kepada pertemuan di antara Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) hari ini.

Dalam masa yang sama, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang mendakwa Perikatan Nasional (PN) telah mendapat sokongan yang cukup untuk menubuhkan kerajaan.

Perkara yang sama turut didakwa Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Istana Negara hari ini menerusi kenyataan memaklumkan tempoh mengemukakan gabungan politik dan nama calon Perdana Menteri ke-10 dilanjutkan sehingga 2 petang esok. – MalaysiaGazette