Muhammad Sanusi Md Nor

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menjangkakan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara selewat-lewatnya jam 4 petang ini.

Beliau berkata demikian berdasarkan keyakinannya bahawa 18 daripada 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan memberi sokongan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Katanya, Muhyiddin akan persembah perkenankan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokong beliau kepada Yang di-Pertuan Agong pada jam 2 petang, dan dijangka disusuli Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri jam 4 petang.

“Sekurang-kurangnya 18 Ahli Parlimen BN akan menyokong Muhyiddin untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini.

“Senarai nama Ahli Parlimen itu akan melalui beberapa prosedur dan perlu dihantar ke Istana Negara sebelum jam 2 petang dan bakal disusuli dengan Majlis Angkat Sumpah Perdana Menteri pada jam 4 petang ini,” katanya di Kompleks Pas Kedah, malam tadi.

Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat berkata, beliau dimaklumkan lebih separuh daripada 30 Ahli Parlimen BN menolak cadangan Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mahu bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Namun, jelasnya, ketika ini tidak ada gabungan daripada BN itu yang mahu menyertai PH kerana berpegang teguh kepada ketetapan suara akar umbi UMNO iaitu ‘No Anwar, No DAP’.

“Dalam kes ini, Ahli Parlimen selain PN yang menyatakan sokongan kepada Muhyiddin untuk menjadi Perdana Menteri tidak akan terkesan dengan Akta Anti Lompat Parti.

“Mereka tidak perlu lompat parti untuk nyatakan sokongan kepada Muhyiddin. Kalau mereka dipecat pun, jawatan sebagai Ahli Parlimen tidak akan hilang kerana mereka bukan lompat ke parti lain,” katanya. – MalaysiaGazette