Anjung Patin Ville memberikan makanan nasi ikan patin kepada petugas media yang bertugas semasa menunggu pemimpin tertinggi parti akan hadir untuk mengemukan calon Perdana Menteri kepada ang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum pukul 2 petang ini ketika di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Pizza, ayam goreng serta minuman boba sememangnya sudah biasa dan sering diterima sejumlah pengamal media yang membuat liputan di pintu Istana Negara sejak Isnin lalu.

Namun ia berbeza hari ini apabila pihak media menerima ikan patin tempoyak sebagai juadah makan tengahari. 

Ia disumbangkan Restoran Samudera@Anjung Patin Ville dari Kampung Baru.

Menurut Hishammuddin Hamzah, pihaknya teruja untuk menyediakan juadah istimewa ini kepada media sempena pengisytiharan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

“Sejumlah 110 pek ikan patin masak tempoyak beserta nasi diedarkan kepada media di pintu 2 Istana Negara.

“Juadah ini disediakan sejak jam 10 pagi bagi meraikan media yang membuat liputan hari ini,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sejumlah lebih 100 pengamal media dan wartawan berkampung di pintu 2 Istana Negara bagi memberikan perkembangan terkini mengenai proses pembentukan kerajaan pasca PRU15.

Teka-teki mengenai siapa yang akan membentuk kerajaan masih belum terungkai apabila kedua-dua pihak antara Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) masih mendakwa mereka mempunyai kerusi majoriti. – MalaysiaGazette