Datuk Seri Hajiji Noor. foto HAZROL ZAINAL, 11 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini menolak sekeras-kerasnya dakwaan kononnya gabungan itu mengisytiharkan ‘perang’ terhadap Barisan Nasional (BN) Sabah, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.

Malah, Ketua Menteri Sabah itu berkata GRS berharap BN Sabah akan terus bekerjasama dalam mentadbir negeri itu selaras dengan mandat diberikan rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada 2020 untuk membentuk kerajaan GRS-BN.

Beliau berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) juga, GRS dan beliau sendiri telah turun padang berkempen untuk membantu calon BN di kawasan mereka.

“Kita tidak ada apa-apa alasan atau perlunya isytihar perang terhadap BN,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilaporkan berkata tindakan GRS menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri melanggar perjanjian kerjasama dua parti itu dan mendakwa ia tindakan isytihar perang kepada BN Sabah.

Menjelaskan perkara itu, Hajiji berkata sememangnya terdapat janji untuk GRS memberi sokongan kepada UMNO dan BN sekiranya pemimpin parti itu layak menjadi Perdana Menteri serta membentuk kerajaan pasca PRU15.

“Bagaimanapun, apabila BN kalah dan UMNO tidak layak menjadi Perdana Menteri, maka perjanjian itu tidak sah dengan sendirinya. Perlu ditegaskan juga bahawa tiada janji sebelum pilihan raya (PRU15) dengan orang (pihak) lain termasuk dengan Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga menafikan dakwaan bahawa beliau bersama Ahli Parlimen daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Ahli Parlimen Bebas telah menemui Muhyiddin di kediaman pemimpin berkenaan di Kuala Lumpur.

“Mereka berjumpa dengan Tan Sri (Muhyiddin) atas kerelaan mereka sendiri dan saya tidak terlibat langsung pada perjumpaan tersebut,” katanya.

Semalam, tular gambar perjumpaan Muhyiddin bersama Presiden KDM, Datuk Peter Anthony, Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda juga Ahli Parlimen Kota Marudu, serta dua Ahli Parlimen Bebas iaitu Datuk Verdon Bahanda (Kudat) dan Riduan Rubin (Tenom).

Bagaimanapun, empat individu itu ketika dihubungi sehingga kini enggan mengulas mengenai pertemuan tersebut.

Pada PRU15, GRS memenangi enam daripada 13 kerusi Parlimen ditandinginya, BN pula memenangi tujuh daripada 12 kerusi ditandingi di Sabah, manakala Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mempertahankan Parlimen Beluran atas tiket PN. – BERNAMA

 

1 Komen

  1. rasanya elok GRS dan GPS secara endblock masuk perikatan nasional untuk menunjukkan saldariti mereka menyokong PN.

Comments are closed.