Tangkap layar menunjukkan satu rakaman video lama yang mendakwa sekumpulan individu membawa bendera komunis dimuat naik semula di Tik Tok.

GEORGE TOWN – Polis memberi amaran kepada orang ramai agar menghentikan pengyebaran video menyentuh sensitiviti agama dan perkauman yang boleh menimbulkan perpecahan kepada masyarakat.

Ia susulan tular satu rakaman video menunjukkan sekumpulan individu berarak mengibarkan bendera yang didakwa bendera komunis sambil memainkan alat muzik.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku di Jalan Raja Uda, Butterworth pada 26 Disember 2019.

“Video berdurasi satu minit 18 saat yang dimuat naik di TikTok itu adalah video lama.

“Video tersebut adalah rakaman perarakan pertubuhan sukarelawan anjuran exco Pembangunan Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri yang dimuat naik semula oleh pihak tidak bertanggungjawab pada 9 November lalu bagi menimbulkan kegusaran terhadap orang awam.

“Sehubungan itu, kita memberi amaran agar menghentikan perbuatan sebegini yang boleh menimbulkan perpecahan kepada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, mereka yang ingkar boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948. – MalaysiaGazette