KUALA LUMPUR – Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad, mensasarkan untuk menjual 45,000 unit motosikal keluarannya EV TAILG dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengarah Urusan NH EV Tech, Khoo Chee Kong berkata, sasaran jualan 15,000 setahun itu meliputi rantau Asia Pasifik.
Menurutnya, NH EV Tech sedang berunding dengan beberapa organisasi, GLC, agensi kerajaan dan peniaga untuk mempromosikan, memasarkan dan mengedarkan motosikal EV di rantau ini.
”Model perniagaan kami merangkumi modul jualan langsung dan sewa milik kepada perniagaan serta pengguna,” katanya selepas majlis pelancaran motosikal tersebut di sini hari ini.
Sempena pelancaran dua model Motosikal EV TAILG itu, Ni Hsin juga akan menandatangani Memorandum Perjanjian dengan beberapa organisasi yang dihormati dan mempunyai hubungan baik, antaranya MIMOS Berhad, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), HAI-O Enterprise Sdn Bhd dan PT Winn Pratama Indonesia bagi membantu pemasaran, promosi dan pengedaran motosikal EV ini.
Model-model tersebut, TAILG EBIXON BOLD dan TAILG EBIXON TORQ, masing-masing dalam kategori kegunaan peribadi dan komersial, dipasang di kemudahan pembuatan Syarikat di Seri Kembangan, Selangor.
Selepas lebih daripada dua tahun kerja keras, dari konseptualisasi, penyelidikan dan pembangunan, percubaan dan kerjasama rapat dengan rakan kongsi, Dongguan Tailing Motor Vehicle Co., Ltd, Ni Hsin EV Tech akhirnya mencapai kejayaan dengan pelancaran TAILG EBIXON.
Sebelumi ini, Ni Hsin mula menjual kopi dengan motosikal sejajar dengan konsep café@home café@office café@anywhere BLACKBIXON yang mana BLACKBIXON Coffee Bike boleh menghantar kopi yang dipesan dengan cepat melalui platform e-dagang.
Chee Kong berkata, usaha kumpulan dalam pembuatan dan pemasangan motosikal EV menekankan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial dan alam sekitar.
”Motosikal pertama yang kami uji ialah motosikal enjin pembakaran dalaman (ICE) yang tidak cekap kerana ia membebankan dan mahal, dan kami mahukan kenderaan yang mesra alam.
”Selepas beberapa siri percubaan dan pengalaman, motosikal elektrik yang bersih dan mempunyai pelepasan tailpipe sifar berjaya dibangunkan, sebagai Blackbixon Coffee Bike kami tahun lepas.” katanya. – MalaysiaGazette