Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyeru  agar semua pihak menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15), Sabtu lalu.

Seruan itu dibuat ketika Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai Pas dan Pakatan Harapan (PH) bersaing untuk membentuk kerajaan menerusi gabungan dengan parti-parti lain.

Menurut Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka untuk memilih kerajaan pada PRU15 yang berlangsung secara harmoni, justeru keputusan itu perlu dihormati.

“Pas menyeru semua pihak untuk menjunjung keluhuran Perlembagaan, menghormati keutuhan undang-undang dan memelihara ketenteraman awam, serta menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian dalam negara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Parti itu turut menegaskan untuk memelihara kestabilan politik dan ekonomi dalam negara.

Pada masa sama, Pas turut memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya ‘tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan’, demi menjaga kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya.

Setakat ini, kerajaan baharu belum dapat dibentuk kerana tiada parti yang berjaya memperolehi majoriti mudah 112 kerusi pada PRU15.

Keputusan di 220 kerusi Parlimen menunjukkan PH beroleh 82 kerusi diikuti PN (73 kerusi), BN (30 kerusi) manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) 22 kerusi, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi, Parti Warisan tiga kerusi, calon Bebas dua kerusi serta Parti Kesejahteraan Demoratik Malaysia (KDM) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing satu kerusi. – MalaysiaGazette