Thursday, April 25, 2024
Home Nasional Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah pecah amanah wang khairat kematian

Pembantu tadbir mengaku tidak bersalah pecah amanah wang khairat kematian

Nurul Shafiha Awang Za dibawa keluar dari kamar Mahkamah Seksyen 2 oleh dua pegawai SPRM hari ini.

KUANTAN – Seorang kerani pentadbiran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, atas tuduhan pecah amanah wang khairat kematian berjumlah RM41,652.42.

Nurul Shafiha Awang Za, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, Nurul Shafiha didakwa menggunakan wang khairat kematian itu bagi kegunaan sendiri yang mana tertuduh sepatutnya menyerahkannya kepada tujuh waris peneroka yang telah meninggal dunia.

Nurul Shafiha didakwa melakukan kesalahan itu antara Februari 2018 sehingga Jun 2019 di Pejabat Felda Sungai Panching Timur, di sini.

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebat dan denda.

Tertuduh dalam rayuan memohon wang jaminan dikurangkan berikutan masih menjaga ibu bapa serta menanggung tiga orang anak berikutan suami baru selesai menjalani pembedahan.

Shafiha turut meminta pertimbangan budi bicara mahkamah memandangkan salah seorang anaknya menghidap penyakit dan masih menerima rawatan selain mengambil kira beliau telah digantung kerja.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserah kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di Pejabat SPRM Kuantan sebulan sekali.
Mahkamah menetapkan 22 Disember depan untuk sebutan semula kes. – MalaysiaGazette