Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Mohd Redzuan Md. Yusof memberi makanan kepada pengamal media ketika meninggalkan kediaman Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mengadakan pertemuan dipercayai membincangkan pembentukan kerajaan susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Bukit Damansara, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 22 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, beliau tidak mengetahui terdapat Ahli Parlimen yang menandatangani Akuan Bersumpah (SD) menarik balik sokongan terhadap Pengerusi Parikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri-ke-10.

Beliau berkata, keputusan pembentukan kerajaan Persekutuan akan ditentukan Yang di-Pertuan Agong pada petang ini.

“Saya tidak tahu terdapat ‘U-turn’. Apa-apa keputusan tunggu panggilan ke Istana, petang nanti,” katanya yang ditemui sebelum meninggalkan kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara, di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, PN telah mengemukakan lebih 112 SD daripada Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada Muhyiddin untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.

Jelasnya, jumlah SD berkenaan mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

Hari ini, Hamzah mendakwa gabungan itu memperoleh satu lagi SD daripada Ahli Parlimen dan ia telah dihantar ke Istana Negara.

Ditanya tujuan kunjungan ke kediaman Muhyiddin, Mohd Redzuan berkata, ia sebagai sokongan kepada Muhyiddin dan PN membentuk kerajaan Persekutuan.

“Perjumpaan hari ini adalah perjumpaan biasa sahaja,” ujarnya

Pembentukan kerajaan Persekutuan tergantung apabila tiada pakatan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mendapat majoriti mudah, iaitu 11w2 kerusi.

PN dan Pakatan Harapan masing-masing mendakwa mereka mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan Persekutuan.

Terdahulu Mohd Redzuan mengedarkan makanan kepada petugas media yang membuat liputan di luar rumah Muhyiddin. – MalaysiaGazette