Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menempelak Tan Sri Annuar Musa kerana membidasnya dalam satu sidang media semalam berhubung satu tulisan yang tersebar kononnya ditulis oleh beliau.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menafikan menulis artikel berkenaan.

Artikel tentang kewajaran pembentukan gabungan Barisan Nasional (PH) dan Pakatan Harapan (PH) tular di Facebook semalam dengan nama Ahmad Shabery di bawahnya.

Ahmad Shabery berkata, ramai wartawan yang bertanya tentang tulisan itu dan beliau memaklumkan ia bukan ditulis olehnya.

Disebabkan itu, tiada satu pun media menyiar atau memetik artikel berkenaan.

”Malangnya bekas menteri Multimedia bidas saya dalam sidang medianya atas tulisan yang tak benar itu tanpa memeriksanya terlebih dahulu.

”Saya hanya menyedarinya sebelah petang dan terus menghantar pesanan Whatsapp kepada rakan saya itu tentang penafian saya bahawa itu bukan tulisan saya.

”Lebih 12 jam Tan Sri tak buat apa-apa tentang keterlanjurannya,” katanya kesal.

Kegagalan Annuar bertindak atas kesilapan itu, kata Ahmad Shabery telah membentuk fikiran beliau tentang tahap berfikir bekas Ahli Parlimen Ketereh itu.

Beliau mengingatkan Annuar tentang kempen klik dengan bijak MCMC”, dan juga asas memeriksa sesuatu berita yang biasa digunakan oleh wartawan.

Antara asas itu ialah periksa sumber – datang dari media mana, atau laman FB, twitter atau IG orang yang dijadikan bahan dan guna google untuk periksa berbagai sumber lain dan pastikan ia bukan berita lama, seperti ada cerita Tan Sri satu ketika dahulu kata UMNO sedia kerjasama dengan DAP.

”Kalau tak pasti lagi, hindarkan, jangan share apatah lagi buat sidang media. Ramai orang tengok dan bentuk pandangan hina kepada kita kelak. Maaf Tan Sri bukan nak ngajar, sekadar saling menginsafi,” tegas beliau. – MalaysiaGazette