Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai untuk berhemah serta menjauhkan diri daripada
memberikan pandangan yang berbaur kebencian membabitkan kaum dan agama.

Semua pihak harus menghormati keputusan pilihan raya dan pemilihan Perdana Menteri yang akan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong dengan hati terbuka.

Pengerusi Interim SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan bagi membendung penyebaran maklumat yang tidak sahih serta kenyataan bersifat jelik membabitkan unsur 3R, iaitu Raja, Agama dan Kaum (Race).

Menurutnya, sebarang perkongsian kandungan bersifat palsu, jelik dan mengancam merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 yang mana sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Tindakan penguatkuasaan bersama PDRM akan diambil terhadap mereka yang terlibat berdasarkan aduan daripada orang awam mengikut
peruntukan undang-undang sedia ada demi melindungi ketenteraman dan kepentingan masyarakat. – MalaysiaGazette