Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni bersama pengamal media ketika hadir pada pertemuan ahli majlis pimpinan Pakatan Harapandi Ibu Pejabat PKR Jalan Gasing, Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 23 NOVEMBNER 2022.

PETALING JAYA —  Datuk Seri Anwar Ibrahim membekalkan makanan dna minuman kepada para petugas media yang berkampung di pejabatnya di Jalan Gasing, di sini.

Beliau keluar menyantuni media selepas 30 minit  tiba di pejabatnya pada jam 11.50 pagi.

Sambil mengagihkan bekalan makanan itu, beliau memohon maaf kepada petugas media kerana tidak dibenarkan untuk memasuki premis tersebut.

“Sorry pada yang nak masuk dalam tu.. komersial sangat” katanya kepada pemberita.

Beliau juga sempat bertanyakan juga jika petugas media mempunyai kerusi sementara menunggu sebarang perkembangan hari ini.

Menjawab soalan seorang pemberita yang bertanya perkembangan terkini, katanya, sumbangan makanan itu adalah berita penting yang mahu disampaikan.

Pagi tadi juga, petugas media diberikan kira-kira 20 bungkus nasi lemak untuk sarapan.

Dalam pada itu, Anwar akan mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH)  di sini.

Setakat ini, hanya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, dan Pandan, Rafizi Ramli yang sudah tiba.

Semalam, Anwar dan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Sesi mengadap itu untuk menentukan gabungan parti yang mempunyai sokongan bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang masih tergantung selepas tiada parti politik yang mendapat majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 Sabtu lalu.

Pagi tadi giliran pemimpin-pemimpin parti gabungan Sarawak, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hassan ke Istana Negara. – MalaysiaGazette