PETALING JAYA — Pertemuan membabitkan beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Jalan Gasing, di sini, akan menyentuh isu perkauman yang berlaku dalam negara pasca PRU15.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli berkata, isu berkenaan penting untuk dibincangkan berikutan beberapa pihak yang mengambil kesempatan memainkan sentimen perkauman bagi mencapat matlamat politik.

Katanya, isu berkaitan perkauman tidak sepatutnya disentuh kerana ia berisiko merosakkan perpaduan negara.

“Isu ini penting juga untuk dibincang kerana adanya pihak memperalatkan sentimen perkauman untuk mencapai matlamat politik mereka.

“Tolonglah jangan menggunakan sentimen perkauman, jangan rosakkan perpaduan negara untuk tujuan politik.

“Kempen pilihan raya umum sudah tamat janganlah guna isu perkauman lagi,” katanya kepada pemberita sebelum memasuki pejabat Anwar, hari ini.

Selain Adam, turut kelihatan Timbalan Presiden parti itu, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, R. Sivarasa, Naib Pengerusi PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari. – MalaysiaGazette