Foto Facebook FAM.

KUALA LUMPUR – Seramai 11 pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) telah diketepikan daripada senarai pemain yang menjalani sesi latihan pusat skuad kebangsaan bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja dan Maldives bermula 29 November ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia FAM yang mengumumkan senarai itu, tonggak tengah Pahang, Muhamad Nor Azam Abdul Azih juga terpaksa dilepaskan atas urusan peribadi, komitmen keluarga atau masalah kecederaan walaupun pada mulanya berada dalam senarai Kim Pan-gon.

Ia berdasarkan Peraturan Status Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 yang menyatakan bahawa kelab tidak diwajibkan untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau pertandingan dan tidak wajib melepaskan pemain yang sama untuk lebih dari satu perlawanan akhir pasukan wakil “A” setiap tahun di mana pengecualian kepada peraturan ini boleh ditetapkan oleh Majlis FIFA bagi Piala Konfederasi FIFA sahaja.

Menurut FAM lagi, sebagai menghormati Peraturan FIFA, 12 pemain tersebut tidak akan disenaraikan dalam skuad Harimau Malaya ke Piala Mitsubishi Electrik AFF 2022.

Pemain dari JDT adalah Shahrul Mohd Saad, La’vere Lawrence Corbin-Ong, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Matthew Davies, Muhammad Syafiq Ahmad, Mohd Afiq Fazail, Muhammad Syahmi Safari, Nathaniel Shio Hong Wan dan Natxo Insa.

Hanya Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Ramadhan Saifullan Usman menjadi pemain daripada JDT yang tersenarai untuk panggilan kali ini.

Bagi posisi penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed telah terpilih bersama-sama Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi, Muhammad Azri Ghani dan Muhammad Rahadiazli Rahalim.

Dion Cools pula akan mengetuai jentera pertahanan disamping pemain-pemain seperti Ahmad Khuzaimi Piee, Dominic Tan, Azam Azmi Murad, Sharul Nazeem Zulpakar, Declan Lambert, Quentin Cheng dan V. Ruventhiran.

Mukhairi Ajmal Mahadi, Brendan Gan, Nur Hakim Hassan, Stuart Wilkin, Akram Mahinan, R. Kogileswaran, David Rowley, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau, Nur Shamie Iszuan Amin dan Mohd Faiz Nasir akan merebut tempat di posisi tengah.

Bahagian serangan pula akan diisi Darren Lok, Muhamad Faisal Abdul Halim, Safawi Rasid, Ramadhan Saifullah serta tiga muka baharu iaitu Lee Tuck, Sergio Aguero dan Muhammad Haqimi Azim Rosli.

Malaysia akan bertemu Kemboja pada 9 Disember ini di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Maldives pula menanti berselang lima hari kemudian pada aksi yang bakal berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast