Arjunaidi Mohamed

KUALA LUMPUR – Polis Selangor mengadakan 26 sekatan jalan raya (SJR) di seluruh negeri Selangor sebagai langkah kesiapsiagaan mengawal ketenteraman dan keselamatan memandangkan Kerajaan Persekutuan masih belum dibentuk.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, operasi sekatan jalan itu bermula 8 pagi hari ini.

“SJR di seluruh negeri ini telah dilaksanakan sebagai langkah kesiapsiagaan memandangkan sehingga sekarang Kerajaan Persekutuan masih belum dibentuk oleh mana-mana parti kerana tidak memiliki majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November lalu.

“Oleh demikian, polis menasihati orang ramai agar memberikan kerjasama penuh kepada petugas pegawai dan anggota di SJR,” katanya ketika dihubungi pagi tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, polis turut menasihatkan juga agar orang ramai kekal bertenang dalam menunggu proses pembentukan Kerajaan Persekutuan yang sedang diuruskan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan dengan sebarang isu yang sensitif di luar yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Pada Ahad lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menerusi satu kenyataan ringkas mengingatkan semua pihak agar tidak cuba menimbulkan perkara-perkara yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam dalam tempoh pasca PRU15.

Katanya, PDRM telah menggerakan semua elemen yang ada bagi memastikan ketenteraman awam terjamin dan terpelihara sepanjang proses pasca PRU15.

“PDRM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas berlunaskan undang-undang yang termaktub terhadap mana-mana pihak yang dikesan mengancam tahap keselamatan negara,” tegasnya. – MalaysiaGazette