KUALA LUMPUR – Tiga pengarah syarikat dan salah seorang daripadanya wanita ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat membuat tuntutan palsu berjumlah lebih RM100,000.
Ketiga-tiga individu itu disyaki membuat tuntutan palsu membabitkan kerja-kerja keselamatan dan pembersihan membabitkan sebuah syarikat.
Sumber berkata, dua suspek lelaki berusia 53 dan 58 tahun manakala seorang wanita warga emas berusia 65 tahun telah ditahan lebih kurang pukul 3 petang tadi di SPRM Selangor ketika hadir memberi keterangan.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek berkhidmat sebagai pengarah syarikat disyaki membuat tuntutan palsu antara Oktober 2019 hingga Mac 2021 tetapi kedua-dua kerja berkenaan tidak dilaksanakan.
Dalam pada itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi telah mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek.
Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
“Malah, kedua-dua suspek lelaki akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi esok untuk mendapatkan perintah reman membantu siasatan SPRM.
“Manakala pengarah wanita itu pula telah dibebaskan dengan jaminan SPRM dengan wang jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selepas mengambil kira faktor usia dan kesihatan” tegasnya.-MalaysiaGazette