Gambar pertemuan pemimpin PN dan BN yang dikongsi oleh Tuan Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kemelut penubuhan kerajaan di Pahang yang melibatkan kerjasama antara Perikatan Nasional dan Barisan Nasional dapat diselesaikan.

Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan beliau dan Pengerusi Barisan Nasional Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bertemu dan berbincang mengenai kerjasama untuk menubuhan Kerajaan Negeri.

“Memang benar bahawa saya dan YB DS Wan Rosdy serta beberapa pimpinan mengadakan pertemuan bagi membincang kemelut di Pahang.

“Kami yakin ianya dapat diselesaikan dengan baik. Berita mengenai syarat-syarat yang diviralkan sangat tidak tepat dan tidak perlu dilayan,” katanya dalam kenyataan ringkas.

Menurut Tuan Ibrahim, perbincangan menjurus kepada mewujudkan keharmonian dan kestabilan politik di Pahang.

Kerjasama itu bagi memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, kebajikan rakyat serta usaha memperkukuhkan kerjasama dua parti teras di Pahang.

“Kami yakin atas kebijaksanaan tuanku sultan dan pemangku raja, masalah ini akan dapat diselesaikan dengan semangat ukhwah islamiyah sesama kita. Sabar adalah kunci kemenangan,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau hari ini berkongsi foto pertemuan yang diadakan antara pemimpin PN dan BN hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum yang lalu daripada 42 kerusi PN menang 17 kerusi, BN pula menang 16 kerusi dan PH lapan kerusi.

Parti yang bertanding memerlukan majoriti mudah 21 kerusi bagi mentadbir Kerajaan Negeri.-MalaysiaGazette