Adnan Mat

KUALA LUMPUR- Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim disaran berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan semua Ketua Setiausaha (KSU) di kementerian-kementerian yang ada ketika ini jika mahu mengecilkan saiz Kabinet.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, langkah itu adalah bagi mengelakkan keputusan yang diambil kelak memberi kesan yang tidak baik kepada jentera pentadbiran kerajaan.

“CUEPACS juga tidak mahu keputusan terburu-buru mengganggu dan memberi kesan kepada dasar-dasar semasa yang sedang dilaksanakan penjawat awam.

“Sudah tentu ia memberi kesan kepada pencapaian atau sesetengah dasar itu akan tergantung dan tidak dapat mencapai hasil yang diingini.

“Perkara ini bukan sahaja merugikan rakyat secara langsung malah turut memberi kesan kepada sumber kewangan negara yang mungkin sudah banyak dibelanjakan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bilangan Jemaah Menteri akan dikurangkan kerana saiz Kabinet sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 adalah terlalu besar.

Dalam pada itu, Adnan berkata, para penjawat awam menzahirkan sokongan dan mengucapkan tahniah kepada Anwar di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Katanya, Cuepacs berharap, Perdana Menteri baharu dapat mengekalkan keharmonian dalam perkhidmatan awam supaya sistem penyampaian kepada rakyat boleh diperkasakan lagi.- MalaysiaGazette