bursa ringgit
Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi dengan kukuh, dengan indeks utama meningkat 2.01 peratus berikutan momentum belian yang berterusan dalam persekitaran sentimen pasaran yang lebih baik di peringkat tempatan dan luaran.

Pada rehat tengah hari, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 28.94 mata kepada 1,471.44 daripada 1,443.5 pada Rabu.

Saham pandu pasaran dibuka tinggi 7.18 mata kepada 1,450.68.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 699 berbanding 201 manakala 312 kaunter tidak berubah, 1,121 tidak diniagakan dan 84 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 3.18 bilion unit bernilai RM1.51 bilion.

Dalam nota penyelidikan awal, Malacca Securities Sdn Bhd berkata keyakinan yang menyelubungi mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) pada November — bahawa bank pusat akan mengambil langkah kurang agresif dengan kadar kenaikan kadar — mungkin tersebar ke seluruh pasaran serantau.

Keyakinan telah membawa kepada belian dalam beberapa saham perbankan — Public Bank naik 14 sen kepada RM4.42, CIMB meningkat 19 sen kepada RM5.70, Maybank menambah 11 sen kepada RM8.66, RHB Bank menokok 12 sen kepada RM5.59 dan Hong Leong Bank naik 20 sen kepada RM20.68.

Firma pembrokeran itu turut percaya bahawa pasaran mungkin berubah menjadi lebih positif selepas Majlis Kerja Tertinggi UMNO mengumumkan sokongannya kepada kerajaan perpaduan, memastikan kestabilan negara.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sokongan belian berkemungkinan daripada institusi tempatan, yang boleh menyebabkan indeks mengakhiri hari ini melebihi paras 1,440.

“Oleh itu, kami menjangka indeks akan diniagakan dalam julat 1,440-1,460 hari ini,” katanya.

Daripada saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals naik 18 sen kepada RM8.96, IHH Healthcare menambah satu sen kepada RM6.00 dan Tenaga meningkat 14 sen kepada RM8.56, bagaimanapun Press Metal merosot empat sen kepada RM4.79.

Dalam kalangan saham aktif, Advance Synergy naik lapan sen kepada 25.5 sen, Malayan United meningkat dua sen kepada 12 sen, Eden berkurangan empat sen kepada 15 sen, Compugates menambah setengah sen kepada 1.5 sen serta MMAG dan Dagang NeXchange, masing-masing naik satu sen kepada tiga sen dan 61.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 205.35 mata kepada 10,471.57, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 184.14 mata kepada 10,600.83, Indeks FBMT 100 menambah 200.51 mata kepada 10,197.94, FBM ACE menokok 117.5 mata kepada 5,091.23 dan FBM 70 melonjak 246.1 mata kepada 12,497.34.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 319.5 mata kepada 16,487.71, Indeks Tenaga meningkat 10.13 mata kepada 753.99 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 2.37 mata kepada 182.23, bagaimanapun Indeks Perladangan merosot 40.32 mata kepada 6,827.37.- BERNAMA