KAJANG – Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan yang akan dipimpinnya adalah Kerajaan Perpaduan.
Jelas beliau, kerajaan baharu ini akan disertai Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Tiga komponen utama adalah PH, BN dan GPS Sarawak. Makna dengan ini, jumlah sekarang adalah sebagai blok terbesar di mana PH 82, BN 30, GPS 22.
“Saya sudah dapat pengesahan Abang Johari (Openg) katakan bahawa mereka bersama dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam sidang media pertamanya di Dewan Rumah Kelab Sungai Long, malam ini.
Jelas Anwar, Kerajaan Perpaduan juga akan disertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dan ahli Parlimen bebas.
“Ini tidak menolak penyertaan parti lain.
“Saya sedia terima kerjasama mana-mana parti termasuk PN (Perikatan Nasional),” katanya yang mahu PN turut menyertai kerajaan.
Dalam pada itu, satu usul undi percaya terhadap Perdana Menteri akan dibuat sebaik sidang Dewan Rakyat dibuka pada 19 Disember depan.
“Kita (kerajaan) akan tetapkan sidang Parlimen pada 19 Disember. Usul kerajaan undi percaya (terhadap Perdana Menteri) di Parlimen. Tak timbul mengenai keresahan,” katanya. – MalaysiaGazette