Mohd Razlan Rafii
Mohd Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – Tidak ada pemilihan parti pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Disember ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, Perlembagaan UMNO menetapkan pemilihan parti akan diadakan selepas enam bulan Pilihan Raya Umum (PRU).

“Maknanya pada Mei tahun depan akan diadakan pemilihan parti dan PAU tahun ini telah dijadualkan dari awal lagi akan diadakan dua kali disebabkan Covid-19. PAU 2021 diadakan pada Mac lalu,” katanya di sini, hari ini.

Malam tadi, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan MKT yang selesai bermesyuarat kira-kira jam 1 pagi tadi telah memutuskan PAU 2022 diadakan pada 21 hingga 24 Disember ini.

Menurut Mohd Razlan, banyak lagi proses perlu dilalui untuk peringkat pemilihan parti, termasuk dimaklumkan kepada semua ahli bagi menyenaraikan nama yang menawarkan diri bertanding.

“Setakat ini, proses itu belum dilakukan lagi dan akan diadakan sebaik mendapat isyarat daripada pucuk pimpinan,” katanya. – MalaysiaGazette