Datuk Seri Azalina Othman Said. Foto MOHD ADZLAN, 27 OGOS 2022.

KOTA TINGGI – Penubuhan kerajaan perpaduan merupakan langkah terbaik dalam menyelesaikan masalah politik negara.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan tidak bermakna sesebuah parti perlu menjual prinsip dan dasar mereka.

“Sebaliknya, mereka boleh bersetuju dengan manifesto bersama untuk memasukkan seluas mungkin janji di dalam manifesto mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, menurut Pengerusi Barisan Nasional  (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah menitahkan semua 30 Ahli Parlimen BN mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan.

Menurut Azalina, kerajaan perpaduan atau gabungan besar juga telah ditubuhkan di seluruh dunia untuk pelbagai tujuan.

Seperti contoh, tambah beliau, Afrika Selatan dibentuk pada era pasca-aparteid untuk membangunkan semula negara manakala kerajaan perpaduan nasional di Kenya dibentuk selepas krisis politik pada tahun 2007. – MalaysiaGazette