Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai khususnya penyokong-penyokong parti politik sentiasa mematuhi undang-undang dan menghormati proses demokrasi.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat mana-mana penyokong parti politik yang melakukan provokasi atau menimbulkan isu termasuk perkauman dan agama.

“Mereka juga dinasihati untuk tidak memuat naik sebarang hantaran atau apa jua sisipan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran atau salah faham kepada masyarakat umum.

“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan sempena Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, jam 5 petang ini.

Tambah beliau, sebarang maklumat yang berkaitan bolehlah menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585, Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan. – MalaysiaGazette