Syed Hassan Syed Ali
Syed Hassan Syed Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 hari ini selepas lima hari selesai PRU15.

Perkasa juga menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dicadangkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk memberikan Perdana Menteri dan barisan Kabinetnya menumpukan pemulihan ekonomi negara daripada berpolitik sepanjang masa.

Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berharap, kepimpinan Anwar dapat membersih dan mengharumkan semula nama negara dari salah laku rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Katanya, Perkasa juga menaruh harapan, Perdana Menteri ke-10 ini dapat menghapuskan segala ketirisan projek dan menyiasat serta mendakwa mereka semua yang terlibat dalam skandal besar seperti projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), pembelian vaksin dan lain-lain.

“Ini adalah punca segala permasalahan negara sejak sekian lama.

“Selain itu, Perkasa juga mengharapkan kepentingan dan keistimewaan Islam, Melayu, bumiputera yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dipertahan serta diperkasakan di bawah kepimpinan Anwar.

“Kita menggesa kerajaan pimpinan Anwar tidak sama sekali membenarkan kegiatan LGBT, penggunaan kalimah Allah oleh mana-mana penganut agama lain, menandatangani ICERD dan Statut Rom, menerima UEC, mansuh Akta Hasutan dan lain-lain hal yang merugikan negara serta kepentingan Islam, Melayu dan bumiputera,” katanya.

Beliau berharap, suara bantahan dan teguran dari NGO Islam Melayu diambil perhatian serius oleh Anwar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast