Adly Zahari
Adly Zahari

MELAKA – Pakatan Harapan (PH) Melaka, yakin pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 hari ini mampu meningkatkan keyakinan pelabur ke negara ini.

Pengerusinya Adly Zahari berkata, itu antara isyarat awal yang dijangka berlaku selain mengharapkan beliau dapat menunaikan tanggungjawab membela nasib rakyat di seluruh negara.

“Kita harap, kerajaan yang dibentuk itu dapat membantu rakyat sebagaimana kita tahu sekarang ini rakyat sedang menghadapi bebanan kos sara hidup dan tentulah kita mahu pelantikan Datuk Seri Anwar ini dapat meneruskan agenda kita selama ini.

“Keduanya, ini dapat meningkatkan ekonomi kita kerana dengan pelantikan beliau, kestabilan negara itu akan lebih kukuh melalui peningkatan keyakinan pelabur untuk melabur dalam negara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ditanya adakah nama beliau turut akan disenaraikan antara angota Kabinet Anwar, Ahli Parlimen Alor Gajah itu hanya tertawa dan menyerahkan keputusan itu kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan cadangan Perdana Menteri.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tengah hari tadi berkenan melantik Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Ia selaras dengan kuasa Baginda yang diperunfukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istana Negara dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dimaklumkan selepas Seri Paduka Baginda berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, hari ini. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast