Gambar hiasan

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan mengadakan perbincangan dengan Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan bagi mencadangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) dapat dijalankan serentak tahun hadapan, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

“Pembubaran DUN secara serentak perlu dilakukan bagi memastikan kos untuk mengadakan PRN di kesemua negeri tersebut pada tahun hadapan tidak terlalu tinggi,” katanya kepada pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Selangor,  Pulau Pinang dan Negeri Sembilan adalah di bawah pentadbiran Pakatan Harapan manakala Kedah, Terengganu dan Kelantan pula diterajui PAS.

Enam negeri tersebut tidak membubarkan DUN masing-masing untuk dijalankan secara serentak dengan peringkat Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 Nov.

Menurut Amirudin, asas DUN di enam negeri itu tidak dibubarkan berserentak pada PRU15 itu kerana telah ada perbincangan tidak rasmi antara enam negeri itu mengenainya.

Beliau menjangkakan PRN akan dilaksanakan selepas Aidilfitri tahun hadapan namun bergantung kepada situasi di peringkat kerajaan Persekutuan dan cuaca.

“Saya tidak boleh sebut bayangan (tarikh khusus bubar) tetapi kemungkinan sampai selepas Hari Raya, agak besar. Namun, kita akan lihat dan tertakluk kepada perbincangan dengan negeri lain,” katanya.

— BERNAMA

 


IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast