Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang percaya apa yang berlaku dalam proses pembentukan kerajaan Persekutuan hari ini pasti ada hikmahnya.

Menerusi hantaram di laman Facebook miliknya, beliau berkata, apa yang penting, jujur kepada rakyat, bersabar dan tetap istiqamah.

“Terima kasih kepada rakyat atas sokongan tidak berbelah bahagi. Kita telah berusaha sedaya upaya. Seterusnya Perdana Menteri perlu membuktikan sokongan sebenar yang diterima.

“Kepada rakyat, kami akan terus berkhidmat. Kepada negara, kami akan terus berbakti,” tulisnya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri ke-10 di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Istiadat angkat sumpah berkenaan diadakan selepas Seri Paduka memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu yang berkenan berangkat menghadiri Perbincangan Khas Raja-raja Melayu di Istana Negara pagi tadi bagi membuat keputusan yang terbaik demi kepentingan dan kesejahteraan negara serta rakyat, lima hari selepas keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Buat pertama kali dalam sejarah negara, keputusan pilihan raya umum berakhir dengan situasi Parlimen tergantung apabila tiada parti atau gabungan parti politik mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan Persekutuan.

Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan adalah 112 kerusi.

PRU15 pada 19 Nov menyaksikan keputusan PH memperoleh 82 kerusi; PN 73 kerusi; BN (30); GPS (23); Gabungan Rakyat Sabah (enam); Warisan (tiga); Bebas (dua) manakala Parti Bangsa Malaysia dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing menang satu kerusi.

Menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong agar parti dan gabungan politik mempertimbangkan penubuhan kerajaan perpaduan bagi mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-PRU15, akhirnya hasil rundingan antara parti bersetuju dan menyokong pembentukan kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Tak semua yang kita inginkan akan dapat kita kecapi, mungkin yang kita tidak inginkan lebih baik lagi. Tak kenal maka tak cinta. Tak cuba tak tahu hasilnya. Cuba berfikiran positif dan terbuka untuk menerima pandangan orang lain. Barulah hidup kita akan tenang, walaupun kekecewaan melanda.

  2. Salah satu hikmah dia ialah Allah tak suka manusia yg sombong…yg memecah belahkan perpaduan Islam…tu sebab Allah tak bagi korang undi majoriti

    • PADA umNO dan B endkan yang tumpang bawah ketiak P akatan H ancing….sebelum ini ZAHID yakin dgn bergerak SOLO dapat sapu 2 pertiga

      PAU 2022 sandiwara NO ANWAR NO DAP sanggup gadai MUAFAKAT sebab DENDAM TAPI sanggup JILAT peghinaaan melayu islam oleh DAPIGS 22 bulan
      jajaran baru untuk selamat kluster2 perasuah dan mahkamah

Comments are closed.