Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengaminkan doa sebelum memulakan tugasnya pada hari pertama di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 25 NOVEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menyatakan kesediaan untuk menyertai Kerajaan Perpaduan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, perkara itu disahkan oleh pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor yang menghubungi beliau semalam.

“Sudah, sudah beliau telefon saya semalam untuk sertai kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas singgah menjamu singgah di Medan Selera Precinct 8, Putrajaya untuk makan tengahari di sini hari ini.

Sebelum itu dalam sidang medianya di Perdana Putra, Anwar memaklumkan bahawa GRS telah rasmi menyertai kerajaan perpaduan.

“Ini bermakna, kekuatan induk termasuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ketika ini ada GRS menunjukkan kita mencecah dua pertiga Ahli Parlimen yang akan memperkukuhkan kestabilan politik negara.

“Kita boleh tumpukan perhatian untuk angkat martabat negara, kukuhkan ekonomi dengan maksud untuk membela nasib rakyat,” katanya.

Semalam, Hajiji berkata, GRS senada dengan keputusan GPS untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata, GPS akur kepada apa sahaja keputusan dan nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi mewujudkan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara dan kesejahteraan rakyat.

Anwar dalam sidang media berkata, kerajaan yang dibentuk adalah Kerajaan Perpaduan Nasional terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan GPS.

Beliau juga mempelawa keterlibatan sebahagian parti-parti lain dalam Kerajaan Perpaduan itu. – MalaysiaGazette