Pejabat Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Majikan boleh memberikan cuti pada hari Isnin, 28 November 2022 susulan pengistiharan cuti umum yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam.

Kementerian Sumber Manusia berkata, majikan juga boleh menggantikan mana-mana hari lain sebagai ganti cuti umum bergaji kepada pekerja.

Cuti ini telah diisytiharkan di bawah Seksyen 8, Akta Hari Kelepasan 1951 [Akta 369] yang juga merupakan cuti umum
yang diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta menurut Seksyen 60D (1)(b) Akta Kerja 1955.

Oleh itu, majikan dikehendaki berbincang dengan pekerja mereka sama ada memilih tarikh tersebut sebagai cuti umum atau menggantikannya dengan tarikh yang lain.

Sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh tersebut layak menerima kadar gaji bagi cuti umum.

Oleh itu, kementerian menggesa majikan untuk memenuhi pemberian hari cuti umum tambahan tersebut kepada para pekerja. – MalaysiaGazette