KUALA LUMPUR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin mendoakan semoga Allah membimbing pentadbiran Kerajaan Perpaduan bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Dr. Maza turut mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.
“Semoga Allah membimbing pentadbiran Ahli Parlimen Tambun ini kepada kebaikan dan dilindungi dari keburukan dan kemurkaan-Nya.
“Ramai telah diberikan peluang untuk jawatan perdana menteri, beliau belum lagi. Diharapkan ada kebaikan yang akan diperolehi oleh rakyat negara ini.
“Semoga Anwar Ibrahim yang dahulu dikenali lahir dari lubuk gerakan Islam itu kembali menjelma dengan semangat yang Islamik dan negarawan yang baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr. Maza turut meminta mana-mana parti politik dan semua pihak memberi ruang kepada Anwar untuk mentadbir negara demi keharmonian negara.
Katanya, kerisauan dominasi pihak tertentu terhadap Anwar diharap dapat dipudarkan dengan pembuktiannya dalam tindakan nanti.
“Selagi tiada zahir kemungkaran atau mafsadah ke atas rakyat, tiada alasan untuk sesiapa membantah atau mengganggu pemerintahannya.
“Berilah dia masa dan ruang tanpa gangguan yang boleh merencatkan usahanya untuk meletakkan Malaysia pada landasan yang betul,” katanya. – MalaysiaGazette