Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas akan berbincang dengan rakan-rakan dalam Perikatan Nasional (PN) pada masa terdekat ini berhubung pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya parti-parti lain menyertai Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu juga akan meninjau pandangan dan kesediaan para pengundinya berhubung pelawaan Perdana Menteri itu.

“Mengenai tawaran YAB Perdana Menteri kepada PN untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pimpinannya, Pas mengucapkan terima kasih, seterusnya dalam waktu terdekat akan membincangkan perkara ini dengan rakan-rakan komponen dalam PN, di samping turut sama meninjau pandangan dan kesediaan rakyat khususnya para pengundi yang telah memberikan undi yang amat memberangsangkan kepada Pas dan PN dalam PRU-15 yang lalu,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, menurut Takiyuddin, Pas bersyukur apabila kemelut kepimpinan negara akhirnya selesai dengan harmoni dan damai.

Tambahnya, Pas menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana menjalankan tugas dengan bijaksana berdasarkan kuasa yang diperuntukkan di bawah undang-undang khususnya dalam soal perlantikan Perdana Menteri berdasarkan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan.

“Pas menerima dengan redha dan hati terbuka segala ketentuan Allah yang tentunya mempunyai hikmatnya yang tersendiri,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama, Pas yakin Anwar yang telah dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 semalam dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik dan adil.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Anwar atas pelantikan itu, Takiyuddin yakin Perdana Menteri akan melaksanakan tanggungjawab dengan baik, adil dan ehsan serta turut mengutamakan konsep federalisme yang wajar kepada seluruh negeri-negeri dan rakyat jelata.

Semalam, Anwar mengajak parti-parti yang lain menyertai kerajaan perpaduannya bagi membolehkan pentadbiran negara kukuh. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.