Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Perbezaan pegangan dalam konsep ketuhanan tidak sepatutnya menjarakkan hubungan sesama manusia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Islam hormat semua agama yang wujud di dunia dan tidak membenci agama lain.

Menurutnya, fitrah manusia itu yang merapatkan hubungan antara manusia dan ia adalah kurniaan Allah kepada setiap manusia sehingga setiap manusia akan mempunyai persamaan dan naluri yang baik dalam hal kebaikan dan kemanusiaan.

“Islam agama kasih sayang sentiasa menyeru dengan hikmah ke arah kebenaran.

“Kita tidak diajar oleh Nabi untuk memaksa manusia menerima dakwah Islam seperti persepsi setengah pihak di Barat terhadap tindakan Taliban di Afghanistan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid mengulas mengenai moral baik yang ditunjukkan rakyat Jepun apabila mengutip sampah selepas perlawanan Piala Dunia di stadium, yang tular baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, krisis penubuhan kerajaan baru-baru ini menyebabkan rakyat khususnya peminat bola sepak tidak berpeluang menonton perlawanan Piala Dunia seperti selalu.

“Masa yang sudah lapang dan keadaan yang sudah agak tenang ketika ini sudah tentu dapat digunakan bersama rakan dan keluarga untuk kembali menonton aksi menarik Piala Dunia.

“Ia perkara yang ditunggu peminat bola sepak sedunia ialah Piala Dunia FIFA yang berlangsung setiap empat tahun sekali sejak penganjuran pertama pada 1930. Pasukan mana pilihan saudara saudari kali ini?,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast